24 Jan: Deep Creek CP
Selepas qiamullail bersama-sama pagi Sabtu yang lalu, ingatkan nak tidur selelap dua. Alih-alih bila pejam mata sahaja, seolah-olah ada projektor dalam kepala otak sedang memancarkan banyak benda – banyak perkara yang perlu dibuat secepat mungkin. Terus bingkas bangun, bersiap-siap diri dan peralatan untuk camping dan hiking di Deep Creek Conservation Park.
Tiba di destinasi, Trig Campground agak lewat daripada masa yang sepatutnya. Terus memasang khemah, bersiap-siap makanan tengahari dan peralatan yang perlu, kami berempat; Jube’, Amzar, Safuan dan saya pun memulakan hiking. Kalau ikut informasi yang diberikan, trail yang kami lalui adalah hard dan sejauh 7.5 kilometer, iaitu memerlukan 7 jam untuk melaluinya. Bunyi agak mencabar, namun pada awalnya, trail yang kami lalui agak biasa dan mendatar sahaja.
Selepas satu jam berhiking, kami tiba di satu kawasan yang sangat cantik dan menarik. Deep Creek Cove seolah-olah lembah pertembungan antara sungai dengan laut. Subhanallah, sangat cantik! Kami berehat, makan tengahari dan bersolat jama’ Zuhur- Asar di situ selama hampir 40 minit sebelum meneruskan perjalanan.
Perjalanan berikutnya sangat mencabar berbanding sebelumnya. Kami terpaksa mendaki curam yang pada agak saya 80 darjah dari permukaan rata. Sangat memenatkan! Kami terpaksa berhenti berehat banyak kali kerana sangat letih dan menyakitkan lutut. Huh? Kami ada 6 jam lagi perjalanan untuk dihabiskan. Menarik, bukan?
Dalam perjalanan berhiking, macam-macam kami jumpa. Antaranya sekumpulan kanggaru liar dan kawasan tumbuhan perosak pythophtora di mana kami mesti memberus tapak kasut kami sebelum meneruskan perjalanan. Paling menakutkan ialah apabila ada seekor echidna berada betul-betul di trail kami. Semoga binatang tersebut ‘tidak melepaskan duri-durinya yang tajam’ ke arah kami (sebelum itu kami ada berbual-bual tentang landak).
Selepas sangat lama berjalan, memanjat, naik turun bukit, meredah hutan, kami tiba di kawasan air terjun 4 jam kemudian. Cantik betul, walaupun airnya agak kemerahan. Pada saat itu bekalan air minuman kami berada dalam keadaan yang sangat berbahaya, tetapi kami tidak sanggup mengambil air terjun berkenaan sebagai air minuman.
Hari semakin gelap dan mendung, hujan renyai-renyai sekejap-sekejap sepanjang kami berhiking. Badan semakin penat, air minuman sudah habis, fikiran semakin kusut, hati semakin berdebar-debar; jauh lagikan perjalanan? Adakah kami kesesatan?
Esoknya kami ke Cape Jervis dan Starfish Hill untuk melihat pemandangan Kangaroo Island, lautan lepas serta kawasan kincir angin gergasi. Tempat ni memang best! Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Foodland Normanville dan makan tengahari di Myponga Dam yang cantik juga.






